Blogger Template by Blogcrowds

Lebih 11,000 petani, penternak dan nelayan yang menjadi mangsa banjir besar hujung tahun lepas dan awal tahun ini telah menerima wang ihsan berjumlah RM11.3 juta.

Pengagihan bantuan itu dibuat menerusi Bank Pertanian Malaysia antara 9 Feb dan 15 April lepas, kata pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kebudayaan dan Warisan, Ahmad Zahri Jamil.

Katanya daripada jumlah itu, RM7.9 juta diagih kepada 8,757 petani, RM2.3 juta kepada 1,761 penternak lembu, kambing, ayam dan sebagainya.

“RM1.1 juta lagi diagihkan kepada 540 penternak ikan,” katanya ketika menjawab soalan wakil rakyat kawasan Yong Peng, Lim Kee Moi pada persidangan Dewan Negeri hari ini.

Ahmad Zahri berkata nilai ternakan yang mati semasa bencana itu mencecah RM15.6 juta.

Katanya daerah Muar mencatatkan bilangan perternak paling ramai yang kerugian iaitu 790 orang diikuti Batu Pahat (270). Segamat (220), Pontian (170), Kluang (137), Johor Bahru (78), Kota Tinggi (59) dan Mersing (37).

Beliau juga berkata 2,943 pekebun kecil getah dan 47,938 pekebun kelapa sawit yang turut menjadi mangsa bencana itu masih belum menerima sebarang bantuan.

“Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Menurutnya 1,670 hektar ladang getah terjejas akibat banjir itu yang menyebabkan kerugian RM9.56 juta manakala 102,363 hektar lagi ladang kelapa sawit musnah dengan kerugian berjumlah RM90.12 juta.

Newer Posts Older Posts Home