Blogger Template by Blogcrowds


Ketika ramai mangsa banjir kali kedua, terutama di Johor, mula pulang ke rumah selepas air di kebanyakan kawasan semakin surut, semalam, kerajaan mengumumkan lagi bantuan tambahan bagi meringankan beban penduduk terbabit.

Bantuan itu termasuk bekalan makanan asas seperti beras, minyak, susu dan sardin selama sebulan serta keperluan membersihkan rumah meliputi baldi, penyapu dan mop.

Pengarah Direktorat Pengurusan Krisis dan Bencana Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Che Moin Umar (gambar), yang dihubungi Berita Harian di Putrajaya, berkata bantuan makanan asas itu dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mangsa yang pulang ke rumah.

Sehingga petang semalam, kira-kira 15,000 mangsa banjir di seluruh Johor pulang ke rumah masing-masing dengan 100 pusat pemindahan ditutup. Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air sehingga lima meter sejak tiga hari lalu, juga beransur pulih.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Batu Pahat, Johor, pula mengarahkan agensi berkaitan mengurangkan kerenah birokrasi bagi mempercepatkan pengagihan bantuan untuk mangsa banjir.

Perdana Menteri berkata, borang bagi mendapatkan bantuan yang perlu diisi mangsa banjir, mesti dikurangkan dan dipermudahkan.

Sehingga 5 petang semalam, 75,394 mangsa banjir masih ditempatkan di 226 pusat pemindahan di Johor dengan Batu Pahat masih mencatat jumlah tertinggi, iaitu 45,994 orang diikuti Kota Tinggi (13,882); Segamat (4,593); Kluang (3,938); Mersing (3,010) dan Johor Bahru (834).

Abdullah yang turut meninjau kawasan banjir di Kota Tinggi, kelmarin, juga mahu pengagihan apa jua bentuk bantuan mesti diselaraskan supaya diterima mangsa terbabit.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pagi semalam turut membincangkan masalah banjir di Johor serta Pahang dan keputusan dibuat bagi memastikan semua mangsa banjir diberi bantuan sewajarnya.

"Kita juga putuskan supaya semua bantuan yang diberi dilakukan dengan adil dan saksama," katanya.

Ketika berucap di SMK Penghulu Saat pula, Abdullah berkata, wang ihsan RM500 akan hanya diberi selepas mangsa kembali ke rumah bagi memastikan bantuan itu digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan keperluan masing-masing.

Abdullah turut mengakui masih terdapat bantuan yang belum sampai kepada mangsa banjir, tetapi beliau sudah memberitahu Abdul Ghani supaya mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan pengagihan bantuan itu.

Sumber Maklumat : Berita Harian (18 Januari 2007)

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home